KUALA LUMPUR 22 Julai - Bagi sesetengah individu, kedatangan Ramadan dianggap sebagai peluang terbaik untuk menguruskan badan, sesuai dengan sifat amalan tersebut yang memerlukan umat Islam menahan lapar dan dahaga di siang hari.
Namun jangan terkejut sekiranya impian itu gagal dicapai sebaliknya perut anda kian 'menonjol' ketika syawal menjelma ekoran kegagalan menahan nafsu sewaktu berbuka puasa.
Menurut Pakar Pemakanan Hospital Pakar Ampang Pantai Puteri, Rose Hanizan Mat Hassan perkara itu tidak mustahil berlaku kerana pengambilan makanan secara berlebihan dan mengejut ketika perut kosong menyebabkan anggota badan itu cepat mengembang.
"Secara tidak langsung, ia menyebabkan perut seseorang ittu menjadi buncit. Justeru, umat Islam tidak sepatutnya makan seolah-olah 'melepas geram' ketika berbuka puasa," katanya.
Mengulas lanjut katanya, cara terbaik untuk berbuka puasa adalah mencontohi sunah Rasulullah iaitu dengan menjamah beberapa biji kurma sebelum bersolat dan kembali makan dalam jumlah yang sekadar mencukupi.
"Tetapi janganlah berbuka puasa dengan makan sehingga 10 biji kurma dan bersolat. Cukup dengan hanya dua atau tiga biji bersama air kosong.
"Sewaktu makan selepas solat Maghrib. Pastikan nasi berada dalam hidangan yang kecil dengan sayur-sayuran dan buah-buahan diperbanyakkan. Kunyahan juga diperbanyakkan bagi mengurangkan beban 'kerja' perut serta memudahkan proses penghadaman," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi petua untuk membantu umat Islam untuk menambah ketahanan diri ketika berpuasa selain meningkatkan kesihatan badan.
"Pertamanya, amalkan meminum susu sebelum tidur selain memperbanyakkan minum air kosong di waktu malam. Pastikan juga pengambilan air manis dikurangkan.
"Selain itu ketika bersahur, cuba amalkan pengambilan beras perang atau beras biasa tanpa mengambil beras wangi. Jika roti pula, pengambilan roti bijirin penuh adalah yang terbaik dan ia mampu memberi kebaikan kepada perut untuk jangka masa panjang selain membantu mereka yang mempunyai penyakit gastrik, cirit-birit dan sembelit," katanya.
Sumber: Utusan
Sumber: Utusan

Tiada ulasan:
Catat Ulasan